Thursday, March 26, 2009

"LOVE" IN TAIPING BANDAR WARISAN






dipetik dari http://dam-dum.blogspot.com/2008_07_01_archive.htm

Taiping Bandar Warisan

PENDAHULUAN

Bandar Taiping merupakan ibu kota bagi daerah Larut, Matang dan Selama. Sebelum 1937, Taiping merupakan ibu negeri Perak. Nama lama Taiping ialah Klian Pauh. Klian bermaksud lombong. Pauh pula ialah sejenis buah mangga bersaiz kecil.
Taiping bermaksud "AMAN" atau "DAMAI" dalam Mandarin. Tercetus dari pertelingkahan puak-puak pendatang negara China yang melakukan aktiviti perlombongan bijih timah di daerah Larut iaitu Ghee Hin dan Hai San, yang begitu ramai di Kelian Pauh ketika itu. Persatuan kongsi gelap dari dua puak ini telah bertelingkah kerana lombong bijih timah dan jalan air. Setelah mendapat kata sepakat untuk berdamai, Taiping telah dipilih sebagai nama baru bagi bandar di daerah Larut. mari kita lihat sejarah Taiping

LOKASI DAN MUKA BUMI

Taiping terletak di koordinat 4.8° Utara dan 104.7° Timur. Taiping terletak di atas muka bumi yang tinggi terutamanya di bahagian Bukit Larut. Gunung Hijau (1448 meter) adalah gunung tertinggi di sini. Bandar Taiping merupakan tempat paling kerap menerima hujan yang lebat, hampir 320 hari setahun. Lantaran itu muka buminya basah terutama di Taman Tasik Taiping. Hujan yang diterima ialah jenis hujan bukit iaitu dari Banjaran Bintang di sebelah Timur. Namun begitu Taiping tidaklah dilanda banjir kecuali kawasan paya bakau di sebelah Barat.


FAKTA SEJARAH DI TAIPING

1.
1880-an bandar Taiping telah dibangunkan oleh penjajah Inggeris kerana daerah ini kaya dengan sumber hasil bijih timahnya di sekitar Sungai Larut. Sebelum kedatangan British, daerah ini (pada masa dahulunya dikenali sebagai Jajahan Larut) telah ditadbir oleh Menteri Larut iaitu Dato' Long Jaafar yang telah diberi kuasa oleh Sultan Perak pada ketika dulu untuk mentadbir jajahan ini. Long Jaafar telah membina pusat pentadbirannya di Bukit Gantang dan menjadikan Kuala Sungai Limau di Trong sebagai pelabuhan utama Jajahan Larut.

2.
1880-an ibu negeri Perak dipindah dari Bandar Baru ke bandar Taiping setelah J.W.W. Birch dibunuh oleh Dato' Maharaja Lela di Pasir Salak pada tahun 1875.

3.
1874 setelah British menjajah negeri Perak sejurus Perjanjian Pangkor ditandatangani di Pangkor, Jajahan Larut telah ditadbir oleh Kapten Speedy sebagai Penolong Residen British.

4.
1937 Taiping tidak lagi menjadi ibu negeri Perak. Ipoh dipilih sebagai ibu negeri kerana terletak di tengah-tengah negeri Perak.


BERAKHIR TAIPING SEBUAH IBU NEGERI

Walaupun lapangan terbang yang pertama di Perak diadakan di Taiping, pada waktu itu telah dibuat rancangan untuk memindahkan pusat pentadbiran ke Ipoh yang jauh lebih maju dari segi perkembangan ekonomi. Perpindahan itu mula-mula dicadangkan oleh Pesuruhjaya Tinggi (Hugh Clifford) sendiri di Majlis Persekutuan pada tahun 1927 tetapi tiada tindakan diambil sehingga tahun 1937. Rancangannya ialah untuk melakukan perpindahan itu dengan beransur-ansur dalam jangka masa tujuh tahun.
Apabila kedengaran berita tentang cadangan perpindahan itu satu golongan penduduk Taiping - mereka yang berpelajaran Inggeris telah menyuarakan bantahannya. Untuk menjadikan suara mereka lebih lantang mereka telah menerbitkan sebuah akhbar Taiping Weekly Record. Penduduk Ipoh yang mendesak supaya perpindahan itu dilakukan sebenarnya mempunyai akhbar juga untuk menyuarakan pendapat mereka; akhbar itu ialah Times of Malaya. Yang memainkan peranan utama dalam penerbitan akhbar Taiping itu ialah Yeoh Teng Khoo, seorang guru, juga ahli sukan yang terkenal.
Penduduk Taiping berpendapat bahawa di Taipinglah mula-mula diletakkan asas pemerintahan yang tersusun, perniagaan yang makmur serta kedamaian di antara berbagai kaum. Justeru itu Taiping adalah bandar yang terkanan; memang sesuailah ia dijadikan ibu kota negeri Perak. Taiping, bahkan dianggap sebagai suatu carta melambangkan kedamaian yang menjadi punca kemakmuran dan kemakmuran adalah alasan yang ditonjolkan oleh penduduk lpoh yang mendesak supaya pusat pentadbiran dipindah ke situ. Ipoh, menurut penduduk Taiping, walaupun besar dan penting, tiada hak dari segi perlembagaan, sejarah atau ekonomi untuk menjadi bandaraya pertama di Perak. Kekayaan Ipoh adalah terbatas kerana lambat laun pengeluaran bijih timah akan merosot.
Selain daripada akhbar Taiping Weekly Record, ahli-ahli Majlis Negeri yang berasal dari Taiping seperti Toh Eng Hoe dan Dr. Saw Ah Choy juga berkali-kali terlibat di dalam perbahasan mengenai isu itu. Tetapi kesemua bantahan itu tidak berhasil. Perang Dunia II tidak juga melambatkan perpindahan yang telah bermula pada 1937. Bila tamat sahaja zaman Pendudukan Jepun, iaitu lapan tahun sejak tahun 1937, pusat pentadbiran tetap dipindah ke Ipoh. Taiping menjadi bandar yang kedua pentingnya di Perak sehingga hari ini. Peninggalan-peninggalan daripada zaman Taiping menjadi ibu kota masih ada. Yang sudah lapuk kerana telah lama tidak digunakan lagi ialah jalan keretapi Taiping - Port Weld. Taiping kini menjadi tempat persinggahan penting keretapi Kuala Lumpur - Butterworth tetapi stesen keretapi di Port Weld sama sekali tidak dijaga dan ada dalam keadaan kopak-kapek. Peninggalan yang masih berfungsi ialah penjara yang pernah menjadi penjara utama di Tanah Melayu. Pada suatu ketika dahulu penjenayah yang menjalani hukuman lebih daripada satu tahun dikurungkan di penjara Taiping. Bangunan-­bangunan lain yang sehingga akhir-akhir ini masih ada dan melambangkan kedudukan luhur Taiping dahulu termasuklah Residensi dan pejabat-pejabat Kerajaan.
Taiping masih mempunyai kemudahan-kemudahan untuk sukan yang tidak terdapat di bandar-bandar lain di Perak kecuali Ipoh seperti stadium dan kolam berenang serta tempat-tempat untuk beristirehat seperti Bukit Maxwell dan tasik. Mungkin yang paling penting Taiping mempunyai sejarah yang menarik yang sepatutnya ditonjolkan kerana Taiping pada suatu waktu dahulu adalah bandar utama di Semenanjung Tanah Melayu.
APA YANG MENARIK?

Taman Tasik Taiping
Muzium Perak
Zoo Taiping
Penjara Taiping
Bukit Larut
Kolam Air Panas Trong
Bukit Merah

GALERI DULU-DULU

Peta Perak 1870-an
Peta Jajahan Larut sebelum 1874
Bandar Taiping tahun 1870
Jalan Kota, Taiping
Lombong menjadi Tasik
Pemandangan Bandar Taiping
Pejabat Kerajaan di Taiping
Perhentian Keretapi Taiping tahun 1884
Sekolah King Edward, Taiping
Pemandangan Bandar Taiping dari Bukit Jelutong
Pemandangan Bandar Taiping
Perhentian Keretapi Port Weld tahun 1885
Pejabat Kerajaan Taiping
Persimpangan Perhentian Keretapi Simpang-Port Weld
Rumah Residen British di Taiping
Bangunan Masjid Kota, Taiping
Gereja Katholik Taiping
Jalan Besar Taiping tahun 1880-1882
Pasar Besar Taiping yang asal
Pasar Besar Taiping yang baru
Penjara Taiping dengan pengawal-pengawalnya
Bangunan Sekolah Kebangsaan Matang (Rumah Ngah Ibrahim)
Pemandangan sebatang jalan di Taiping
Patong Kol. R.E.S. Walker C.M.G.
Pejabat Kerajaan Taiping
Bangunan Muzium Perak, Taiping
Jabatan Kerjaraya Taiping (lama)
Bangunan Jam Besar Taiping


Wednesday, July 9, 2008

Posted by zidax at 12:55 0 comments

1 comment:

syad27 said...

tau x bile taiping di wartakan jadi bandar warisan???