TIGA TULISAN DALAM SUARA MELAYU UTUSAN MALAYSIA SUDAH JELAS BAHAWA MELAYU KINI DELIMA KERANA MELAYU BERPECAH. MAKA DASAR KERAJAAN JANGANLAH JADI "DITELAN MATI EMAK, DILUAH MATI BABAK" KERANA MELAYU TAKUT DILABEL RASIS. 1MALAYSIA AMAT JELAS ADA 3 CORE ATAU TERAS YANG WAJIB DIPERTAHANKAN OLEH WARGANEGARA MALAYSIA SEKIRANYA KITA SAYNGKAN NEGARA. MAKA SAAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA KE 47 DI PADANG MERDEKA, KOTA KINABALU SABAH PADA 16 SEPTEMBER 2010 JAM 8 MALAM MARILAH KITA TRANSFORMASIKAN DIRI KITA SUPAYA UTAMAKAN AGENDA NEGARA DAN MENOLAK PERKAUMAN SEMPIT, ULTRA KIASU SERTA HANYA FIKIR KAUM SENDIRI SAHAJA. FIKIRLAH 1MALAYSIA YANG ADA 3 CORE TADI IAITU PENERIMAAN PERPADUAN DAN KONTREK SOSIAL KAUM, PENERIMAAN KEPADA ASPEK KENEGARAAN IAITU PERLEMBAGAAN DAN RUKUN NEGARA SERTA YANG KETIGA IALAH KEADILAN SOSIAL SUPAYA SEMUA KAUM DI NEGARA INI DI SEGI EKONOMI DAN EKOSISTEM HIDUPNYA "SAMA RATA DAN SAMA RASA." MAKNANYA KEKAYAAN DAN KEMEWAHAN NEGARA PERLU DIKONGSI SECARA ADIL UNTUK SEMUA KAUM TERMASUK MUAALAF YANG MASUK MELAYU ATAU MASUK ISLAM. TIDAK MAHU KOMEN APA LAGI KERANA TULISAN DALAM UTUSAN MALAYSIA HARI INI 12 SEPTEMBER "SUDAH TERANG LAGI BERSULUH." BACALAH:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htmhttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
Jauhi Perkasa, selamatkah UMNO?
Apakah wajar kesemua parti komponen termasuk UMNO mengambil pendirian menolak Perkasa?
Awang lontarkan persoalan ini kerana ia sudah menjadi bahan bualan terutama di kalangan orang Melayu. Mesyuarat BN yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung, Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini mencapai persetujuan untuk menjauhi Perkasa. Alasannya kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan keupayaan BN meraih sokongan pengundi pelbagai kaum selain menjejaskan konsep 1Malaysia.
Pada Awang, Perkasa hanyalah NGO biasa sebagaimana NGO bukan Melayu lain, yang sekadar membela kepentingan kaum masing-masing. Persekitaran politik yang dilihat tidak menentu dan berbahaya kepada kepentingan Melayu menyebabkan ramai menyokong Perkasa. Suka atau tidak, Perkasa menjadi sandaran baru kepada orang Melayu dan umat Islam. Dalam banyak isu melibatkan kepentingan bangsa dan agama, Perkasa lebih diyakini berbanding parti politik. Maka langkah menolak bulat-bulat Perkasa dalam membela kepentingan Melayu akan membawa UMNO ke ambang risiko besar. Hari ini, UMNO dapat bertahan di sebalik gelombang asakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, juga adalah antara lain disebabkan peranan NGO seperti Perkasa. Janganlah melihat Perkasa sebagai hantu jembalang - sebagaimana persepsi banyak parti bukan Melayu. Pada Awang, Perkasa bukanlah ultra rasis berbanding banyak NGO yang bertaut rapat dengan parti-parti Cina seperti DAP, MCA dan Gerakan.
Ketika parti-parti Cina saling lengkap melengkapi dengan NGO mereka, ada pemimpin UMNO yang mahu menolak Perkasa tanpa melihat daripada perspektif lebih besar. Awang tidak setuju sama sekali dengan pandangan bahawa Perkasa akan menggugat BN kerana dituduh rasis. Lakukanlah kajian menyeluruh. Hampir kesemua isu yang disuarakan oleh Perkasa adalah sebagai menyanggah tuntutan keterlaluan oleh pelbagai pihak tanpa menjaga sensitiviti orang Melayu dan prinsip dalam perlembagaan negara. Perkasa tidak pernah meminta lebih untuk orang Melayu walaupun ekonomi negara dikuasai oleh kaum Cina. NGO itu hanya mahu mempertahankan apa yang ada pada Melayu pada waktu ini kerana Melayu masih jauh ketinggalan. Apakah komitmen Perkasa menjunjung perlembagaan juga bercanggah dengan konsep 1Malaysia? Awang agak aneh mengapa mesyuarat BN itu tidak mengambil pendirian yang sama terhadap NGO bukan Melayu lain. Semalam, Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon menyatakan rasa gembira dengan jaminan bahawa UMNO juga tidak akan menyokong Perkasa. Awang ingin bertanya apakah tanpa Perkasa, Gerakan boleh memberi jaminan bahawa majoriti bukan Melayu akan menyokong BN?
Pendirian masyarakat Cina menolak BN pada pilihan raya umum lalu masih belum berubah. Gerakan sendiri sampai hari ini hampir lumpuh dan parti itu tidak bekerja keras memulihkan sokongan bukan Melayu, sebaliknya asyik mencari alasan lapuk.
Pada Awang, pendirian UMNO untuk turut sama menjauhi Perkasa tidak akan membantu parti itu. Persoalannya, apa pilihan UMNO yang terpaksa menjaga sensitiviti parti komponen lain?
Atas kertas UMNO boleh menolak Perkasa tetapi risikonya ke mana sokongan NGO itu selepas ini? BN sendiri akan terjejas jika ramai pengundi UMNO pula menjauhi parti itu kerana mengikut haluan Perkasa. Jika itu berlaku, yang lebih rugi adalah UMNO. Dalam kita ghairah mahu mendapat sokongan bukan Melayu, janganlah mudah terjebak dengan percaturan yang silap. Awang khuatir, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran. Sokongan bukan Melayu adalah penting kepada BN namun pasak yang perlu dijaga adalah Melayu. Itu juga adalah asas kenegaraan yang bermula dengan kemurahan hati dan pengorbanan Melayu kepada kaum lain sejak sebelum merdeka lagi. Jika Perkasa dimusuhi, NGO itu dan Ibrahim tidak akan rugi apa-apa. Yang rugi adalah kuasa politik Melayu.
Awang melihat pilihan lain yang ada pada BN ialah semua parti komponen mesti komited mempertahankan perlembagaan dan akur kepada kontrak sosial. Jika itu boleh dipersetujui, Awang percaya Perkasa dengan sendirinya akan terpinggir daripada perhatian orang Melayu. UMNO juga perlu lebih kelihatan membawa agenda Melayu sebagaimana yang terus dijuarai oleh DAP, MCA, Gerakan dan MIC untuk melonjakkan kaum masing-masing.
Dalam UMNO perlu memikul cabaran mengetuai keluarga besar BN yang bererti mengurus kehendak pelbagai komponen, hakikatnya parti itu selama ini kuat adalah kerana agenda Melayu. Persoalannya lagi apakah parti komponen BN yang lain akan akur. Inilah cabaran besar UMNO. Yang pasti, orang Melayu kini memerhatikan tindak-tanduk UMNO dan akan membuat penentuan apabila tiba masanya. Mungkin pada waktu itu nanti, segala-galanya sudah terlewat bagi UMNO untuk mendengar suara kaumnya sendiri. Sangat terlewat.
Apabila agenda kaum diutamakan
Kebelakangan ini kedengaran suara-suara sumbang ultra kiasu yang mahukan saya dan beberapa orang lagi, dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan, hanya kerana membangkitkan beberapa isu berkaitan agenda negara, yang semakin tidak dipedulikan, berbanding dengan agenda bangsa yang semakin mengasak. Spesies ini lebih suka kita membuang terus jati diri negara ini kerana bagi mereka tidak penting, yang lebih penting adalah jati diri bangsa.
Bukanlah sesuatu yang pelik jika ada pihak polis yang mengeluarkan kata-kata “balik negeri” seperti yang berlaku baru-baru ini kerana ada yang masih tidak boleh memahami bahasa jiwa bangsa ini. Apalah erti tinggal dalam sebuah negara merdeka ini, jika agenda negara langsung tidak pedulikan. Inilah akibatnya apabila kita dipisahkan sejak kecil melalui sistem pendidikan perkauman (vernacular). Lebih malang lagi ada di antara kita yang tidak sanggup merombak kurikulum Unified Examination Certificate (UEC) untuk sesuai dengan jati diri negara, hanya kerana jika rombakan dilakukan, sijil tersebut tidak akan diikhtiraf oleh negara luar seperti China dan Taiwan.
Baru-baru ini saya menghadiri Majlis Dialog Selangor Blueprint bagi tempoh 2011-2013 Pihak Berkuasa Tempatan, ada kalangan peserta yang langsung tidak boleh berbahasa dan memahami bahasa Melayu. Saya seolah-olah tidak berasa berada di Malaysia yang menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Mereka lebih mengambil berat soal pilihan raya bagi memilih ahli majlis daripada agenda negara yang lebih besar. Di manakah kiblat kita sebenarnya? Saya amat bimbang apa yang berlaku di sini dipantau oleh kuasa besar di luar sana?
Agak-agaknya berapa ramaikah sebenarnya mereka yang benar-benar boleh faham dan menulis dalam bahasa Melayu. Inilah bezanya dengan bangsa saya yang tinggal di Sabah dan Sarawak. Saya amat bersetuju dengan kata-kata Perdana Menteri bahawa 1Malaysia telah lama bertapak di sana berbanding dengan Semenanjung yang begitu kental dengan perkauman. Di sini kita lebih mementingkan agenda bangsa berbanding agenda negara.
Saya yakin pihak polis yang mengeluarkan kata-kata “balik negeri” adalah perkara yang sudah lama terpendam. Mereka sudah tidak tahan dengan sikap sesetengah pihak yang membelakangkan agenda nasional. Lebih 53 tahun merdeka, kita masih tidak menguasai bahasa kebangsaan, sedangkan bahasa asing dikuasai begitu bersungguh-
sungguh. Apakah makna semua ini? Dimanakah semangat patriotism yang kita laung-laung selama ini? Adakah ia tidak kaitan langsung dengan soal penguasaan bahasa kebangsaan?
Sedarkah kita, tidak ramai yang bercerita dan melaporkan betapa sukarnya pembanci 2010 untuk membuat bancian kerana didapati ada kalangan warganegara kita yang tidak dapat memahami bahasa Melayu, selaku bahasa utama dan pertama negara. Saya tidak perlu melabelkan siapa, kerana saya yakin para pembaca sudah dapat menekanya. Pelik sungguh, sekian lama merdeka, rupa-rupa masih ramai lagi orang sebegini. Apakah ini satu kesilapan atau kegagalan kita menguatkuasakan undang-undang sedia ada? Sejak dahulu lagi artikel saya tidak henti-henti mengulangi masalah negara ini. Malangnya saya dituduh lebih Melayu dari Melayu. Sedangkan saya menulis soal pembangunan negara bangsa, semangat patriotisme dan pembangunan jati diri.
Menurut Jabatan Perangkaan, sepanjang gerakan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 sehingga kini, masih ramai yang tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris. Mereka hanya tahu berbahasa bangsa sendiri. Sebanyak 70 peratus daripada mereka yang tidak memberikan respons adalah masyarakat Cina. Perkara ini tidak seharusnya terjadi dalam sebuah negara yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Saya masih menunggu jawapan daripada pejuang-pejuang bahasa ibunda, sekolah vernakular dan parti-parti politik ultra kiasu, sebab musabab perkara ini berlaku.
Malang
Lebih malang lagi ada yang sanggup melepaskan beberapa ekor anjing bagi menghalang pembanci mendekati rumah mereka. Elok juga bancian dibuat, jika tidak, ramai lagi yang akan menuduh saya mengkhianati bangsa sendiri atau sengaja mereka-reka cerita.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp
Perpaduan Melayu jadi tonggak
MINGGUAN: Bagaimana saudara sebagai bukan Melayu melihat dari sudut perpaduan sempena Hari Malaysia?
LIM SWEE TIN: Saya mempunyai banyak pandangan tentang perpaduan atau dalam bahasa sasteranya bercapah-capah atau bercemperai.
Secara luarannya kelihatan seperti utuh tetapi jika dihalusi dengan mendalam kerana sekarang timbul banyak masalah tentang perpaduan ini. Dalam satu aspek saya melihat kepada perpaduan di kalangan Melayu itu sendiri. Selain itu di mana kita melihat perpaduan di kalangan bangsa Malaysia itu sendiri. Di kalangan perpaduan Melayu kelihatan semakin menjarak titik pertemuannya. Bagi saya dalam konteks perpaduan sebenar dan perpaduan Melayu perlu utuh kerana perpaduan Melayu itu adalah tonggak perpaduan. Jika roboh perpaduan di kalangan orang Melayu saya analogikan kita tidak mendapat apa-apa faedah dari perpecahan itu. Dalam satu sajak yang saya tulis pada 2008 bertajuk, Bersatulah Melayu, saya merenung dengan mendalam bagaimana terluka hati kenapa orang Melayu dan bukan Melayu tidak boleh bersatu dan terasa ada kelemahan yang timbul akibat dari tidak bersatu itu. Saya sering menekankan bahawa Melayu itu perlu menjadi payung dan jika ia carik orang lain pun susah hendak berlindung. Ia seperti lampu menyuluh, jika kabur lampu itu maka kaburlah jalan suluhannya. Bagaimana bangsa boleh menikmati, keharmonian dan kesejahteraan hidup. Itu analisis saya dalam sudut sastera. Dalam realitinya dua konteks perpaduan yang saya lihat amat menggugah adalah masalah perpaduan Melayu dan dalam satu bangsa Malaysia.
Perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum bukan tidak ada perpaduan. Tetapi masih ada ruang yang menjadikannya longgar. Ini sesuatu yang kita khuatiri sebab dalam konteks pelbagai kaum perpaduan itu mesti kukuh. Sebarang kepincangan akan menyebabkan masalah yang besar.
Bagaimana ruang menjadi longgar itu berlaku?
LIM SWEE TIN: Ruang ini berlaku kerana perkembangan ekonomi dan kemajuan yang berlaku. Ini semua adalah kerana kita hidup dalam dunia kosmopolitan yang serba serbinya ketara sifat individualistiknya. Selain itu sistem pendidikan kita tidak tajam kerana sistem pendidikan perlu ke hadapan. Saya pernah menjadi guru selama 28 tahun dan merasakan pendidikan di sekolah yang sebenarnya dapat membawa setiap anak bangsa ke satu jalur pemikiran yang sama. Saya maksudkan mengenai orientasi persekolahan menjurus kepada pencapaian dan bukan pengisian. Ia tidak melihat kepada komposisi pengisian sebenar. Pengisian mesti berkesan dan tajam barulah pencapaian menyusul dengan keputusan yang baik.
Ia mesti lebih segar dan global sifatnya. Pelajar sekarang hanya berada dalam satu kumpulan dan kemudian terbahagi kepada kelompok-kelompok kecil. Ini satu petanda yang tidak betul. Ini saya maksudkan dengan tidak tajam. Ia akhirnya menyebabkan pelbagai perkara tidak menjadi jelas. Saya bagi contoh mengenai Dasar Ekonomi Baru, orang bukan Melayu melihat ia sebagai alat untuk membantu Melayu. Tidak ada penjelasan kenapa ia diwujudkan dan bagaimana ia membantu semua kaum. Di sekolah tidak dijelaskan atau di diskusi secara jelas dengan pelajar. Jika persepsi berterusan ia akan menimbulkan masalah yang besar kerana mereka beranggapan buruk tentang DEB seolah-olah orang bukan Melayu tidak mendapat faedah tentangnya. Ini semua berlaku kerana pengisian melalui pendidikan tidak sampai. Setelah pelajar-pelajar ini dewasa dan kemudian terdedah kepada politik mereka sukar memahami tentang keistimewaan orang Melayu dari sudut Perlembagaan dan kontrak sosial. Ini berlaku kerana sesetengah orang yang terlibat dalam politik ini seolah-olah buta sejarah. Semua ini tidak akan berlaku jika mereka mendapat penghayatan apa yang tertulis dalam sejarah. Matapelajaran sastera juga perlu diajari secara lebih meluas lagi kerana ia akan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang menjadi wadah untuk perpaduan.
Apakah komen Dr. mengenai ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib supaya kaum lain tidak mempersoalkan Perlembagaan?
LIM SWEE TIN: Bagi saya sewajarnya semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia sudah memahami perkara yang termaktub dalam Perlembagaan. Ini adalah kewajipan bagi setiap warganegara tidak kira kaum apa sekalipun supaya memahami Perlembagaan. Apalah ertinya kita mengaku warganegara kalau tidak memahami perlembagaan negara sendiri. Saya setuju dengan Perdana Menteri bahawa jangan ada sesiapa pun yang mempersoalkan Perlembagaan. Ini kerana Perlembagaan itu digubal dengan kesepakatan. Bukan dibuat oleh orang Melayu saja. Kalau dulu sepakat kenapa sekarang kita nak bangkitkan itu dan ini? Kita kena mengikut Perlembagaan melainkan kita berhasrat untuk menukar Perlembagaan. Soal saya, adakah kita nak menukar Perlembagaan? Lagi pun dalam Perlembagaan tidak disebut meminggirkan kaum bukan Melayu dan kerajaan telah melaksanakan dengan adil sebagaimana dalam Perlembagaan.
Tetapi Dr. ada sesetengah pihak menganggap Perlembagaan lebih memihak kepada orang Melayu. Apa komen Dr?
LIM SWEE TIN: Saya tak setuju. Saya belum jumpa perkara dalam Perlembagaan yang meminggirkan kaum lain. Sebab itu saya kata kewajipan setiap warganegara adalah memahami Perlembagaan. Kalau kita faham tidak mudah untuk orang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
Apakah dalam keadaan sekarang orang bukan Melayu tidak memahami orang Melayu?
LIM SWEE TIN: Itu yang saya khuatirkan malah mungkin tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan Melayu. Bagi saya minda Melayu itu harus menjadi landasan dan orang Melayu mesti bersatu, bangun. maju dan ke hadapan dengan cepat supaya ia menjadi landasan. Yang lain akan mewarna-warnikan keadaan. Janganlah peradaban selain Melayu yang menjadi tunggaknya. Kita perlu melahirkan masyarakat pelbagai kaum yang menganggap pahlawan bangsa Malaysia adalah Hang Tuah. Bukan pahlawan dari China atau India. Namun kerana tempias pemikiran yang tidak tajam tadi berlaku masalah politik yang berlandaskan perkauman. Ia kemudiannya menjadi modal politik yang ampuh dan mudah menarik sokongan. Parti politik ini perlu memainkan peranan mereka bukan hanya melihat pucuk kaum yang diwakilinya. Parti politik ini perlu mewakili dan memainkan peranan kepada semua kaum. Ini perlu jika mahu wujud perpaduan kebangsaan yang sebenar parti perlu memainkan peranan kepada semua. Mungkin ada melihat ia sebagai terlalu ideal namun saya percaya ia boleh dilakukan. Kita boleh lihat dalam parti UMNO, ia membantu semua kaum contohnya kepada kaum keturunan Thailand. Kita mesti cuba dan berani untuk memainkan peranan sebagai idealis jika ia benar-benar boleh membawa perubahan. Namun persoalannya bersediakah ahli politik bersedia mengambil risiko hasil dari perubahan ini. Perlu ada keikhlasan dalam soal ini. Namun jika ini dapat dilaksanakan maka kita akan dapat merungkai permasalahan dalam soal perpaduan ini dalam semua segi politik, ekonomi, sosial dan segalanya.
Apakah orang Melayu sedar mereka kini semakin terpinggir akibat daripada tidak bersatu?
LIM SWEE TIN: Mereka sudah lama sedar tentang realiti ini dan saya tidak nampak apa-apa usaha yang konkrit yang dilakukan untuk menyusun barisan Melayu yang kuat. Apa yang berlaku sekarang hanyalah gembar-gembur yang tidak kesampaian. Namun perpecahan politik ini tidaklah sampai kepada melemahkan politik. Parti-parti politik mempunyai idealisme masing-masing dan jika ia dimainkan dengan landasan yang betul ia mampu memberi ruang melalui sumbangan yang boleh diberikan. Ia akan menggerakkan perpaduan yang lebih baik namun realitinya sekarang ia tidak berlaku. Ini menyebabkan ada pihak yang berasa kurang selesa hingga menjadikan pergeseran.
Adakah orang Melayu tidak bersatu untuk mempertahankan hak mereka tidak seperti kaum lain?
LIM SWEE TIN: Bagi saya isu penyatuan akan tetap berlaku kerana ia boleh membantu menyelesaikan banyak masalah. Kita perlu melihat kepada pemikiran yang luas bukan sempit. Kita perlu melihat orang Melayu boleh bersatu dalam bagaimana memperkukuhkan kekuatan ekonomi mereka. Bagi saya sudah sampai masanya kita keluar dari kekeliruan mengenai perpaduan. Ini kerana setelah 53 tahun merdeka kita sepatutnya tidak perlu khuatir tentang masalah perpaduan seperti ini. Jika orang Melayu bergabung untuk menggerakkan satu kuasa ekonomi maka ia akhirnya akan membantu menaikkan semua kelompok di negara ini. Kita boleh lihat kaum Cina boleh bersatu bagi meningkatkan kekuatan ekonomi maka orang Melayu perlu menguasainya. Jika orang Melayu boleh melakukan (bergabung) ia akan memberi impak kepada semua dan saya yakin tentang perkara ini.
Orang Cina tidak perlu berasa ekonomi mereka terjejas kerana jika ini berlaku ia akan memberi peluang kepada bukan sahaja mereka tetapi semua orang untuk menikmati faedahnya. Begitu juga sebaliknya jika orang Cina yang melakukannya kerana ia adalah satu gerakan yang boleh memberi peluang dan kemajuan kepada semua orang dan kaum. Dari kita berselisih tentang isu yang tidak sepatutnya kerana perkauman maka adalah lebih baik kita berfikir bagaimana untuk memacu ekonomi tanpa bersikap prejudis kepada perkauman. Ini kita perlu lakukan kerana ia mencorak satu pemikiran Malaysia. Jika kita perhatikan negara-negara jiran semakin berkembang dari sudut ekonominya. Vietnam dan Thailand sedang berkembang begitu juga Indonesia. Idealisme seperti ini didukung kerana ia menyatakan kemurniaan dan hasrat yang tulus untuk melahirkan satu warganegara Malaysia. Bagi saya ramai antara kita yang cuba menggerakkan warga Malaysia termasuklah kaum bukan Melayu. Cumanya orang Melayu perlu memperkasakan ekonomi mereka supaya pergerakan dan persaingan itu akan berlaku lebih sihat. Mungkin sekarang ini jumlahnya masih sedikit dengan orang bukan Melayu namun ia tetap perlu dipertingkatkan supaya adil pembahagiannya.
Berapa lama lagi kita perlu menunggu erti perpaduan yang sebenar?
LIM SWEE TIN: Bagi saya perpaduan itu ada bukan sampai tidak ada. Ramai kaum Melayu dan bukan Melayu yang saya sendiri saksikan sangat kuat semangat nasionalisme mereka. Mereka semua mencintai dan menyayangi negara ini. sebagai contoh banyak perniagaan yang dikembangkan keluar negara dan mereka ini akan membawa pulang hasil dan keuntungannya balik ke negara ini. Ini antara contoh bagaimana semangat nasionalisme sudah semakin berkembang. Pekerja mereka ini terdiri dari pelbagai kaum tidak kira sama ada ia milik orang Melayu atau bukan Melayu. Kita sudah mencapai banyak kejayaan dalam hal ini namun masih terdapat ruang yang tiris. Masalah ini berlaku akibat penguasaan dari masalah bahasa Melayu. Mungkin saya boleh katakan kerajaan tidak bertegas dalam soal ini. Ia satu perkara yang tidak boleh dikompromi dan bertolak ansur. Ia sudah dilaksanakan sejak 1976 dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan semua anak bangsa telah dididik dengan satu bahasa yang sama. Ini sepatutnya membantu mereka berfikir dalam satu pemikiran yang sama. Malangnya masih ramai yang tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Kita sendiri tidak menjalankan tanggungjawab memelihara bahasa Melayu sebaiknya dan saya sangat sedih perkara seperti ini berlaku.
No comments:
Post a Comment