Sunday, October 26, 2008

KONTREK SOSIAL DAN PERPADUAN

KONTREK SOSIAL SEBAGAI PEMANGKIN PERPADUAN MASYARAKAT
(DRP ASYAFIQE.WORDPRESS:
Posted by syafiqe on August 2, 2008

Perbincangan berkaitan dengan kontrak sosial pernah diulas oleh penulis sebelum ini dalam artikel bertajuk [Memahami Kontrak Sosial dan Kedudukannya Menurut Perlembagaan Malaysia]. Apa yang jelas, ternyata selepas hampir 50 tahun kemerdekaan Malaysia, formula kontrak sosial yang telah dipakai telah berjaya menyatupadukan semua kaum di Malaysia tanpa berlaku sebarang konflik perkauman. Kontrak sosial ternyata berjaya membawa semua kaum di Malaysia supaya menghormati setiap hak yang telah ditetapkan oleh perlembagaan. Sesungguhnya elemen-elemen kontrak sosial yang terdapat dalam perlembagaan persekutuan tanpa syak lagi adalah asas bagi melicinkan urusan pentadbiran negara dan menolak sebarang percubaan mempersoalkan mana-mana daripada elemen-elemen ini yang berkemungkinan akan mencetuskan perpecahan dalam keharmonian kaum.

Meskipun kaum bumiputera telah diberi keistimewaan dan hak-hak tertentu berbanding kaum lain, namun kaum lain turut sama dapat hidup dengan aman damai di Malaysia tanpa berasa tertindas. Ini berlainan dengan masyarakat di negara lain yang mempunyai konflik antara kaum disebabkan kegagalan masyarakat untuk menghormati dan patuh pada kontrak sosial yang telah ditetapkan. Menurut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi semasa menyampaikan ucaptama bertajuk `Cabaran Masyarakat Berbilang Agama, Bangsa dan Budaya‘ pada Sidang Kemuncak Media Asia 2004. Beliau berkata bahawa:

“Setiap masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama perlu diikat dengan satu kontrak sosial yang menyediakan rangka untuk perhubungan politik, sosial dan ekonomi berdasarkan persetujuan bersama. Ia mengurangkan salah faham dan konflik kepentingan serta membolehkan setiap orang menumpukan kepada usaha meningkatkan hidup mereka dalam suasana aman dan harmoni” [1]

Walaupun isu-isu kontroversi kaum di Malaysia ditangani secara komprehensif oleh pelbagai jabatan dan kementerian, dalam kerajaan pihak yang secara langsung menguruskan isu perpaduan rakyat dan hubungan kaum ialah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional. Dalam keadaan normal, setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM151 juta kepada jabatan itu untuk menganjurkan program-program bagi merapatkan hubungan 26 juta rakyat negara ini yang berbilang etnik, budaya dan agama.[2]

Jika hubungan etnik mengalami kemerosotan, bayangkan berapa banyak peruntukan yang terpaksa kerajaan gunakan bagi membetulkan semula hubungan kaum yang bermasalah. Bayangkan pula kerugian yang terpaksa ditanggung dari segi ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa sekiranya persaingan etnik yang tidak terkawal membawa kepada tercetusnya keganasan dan rusuhan perkauman.[3] Kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah. Permuafakatan yang dicapai telah mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Parti Perikatan dalam pilihan raya 1955.

Sebahagian masyarakat bukan Melayu ketika itu mungkin menganggap kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu terdiri daripada imigran atau keturunan imigran.
Generasi bukan Melayu sekarang pula menganggap kontrak sosial ini sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka tidak nampak kenapa ia masih dibangkitkan kerana bagi mereka ia adalah sesuatu yang automatik. Mereka juga tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera merupakan sebahagian daripada kontrak sosial. Jika golongan bukan Melayu diberi kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberi perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa orang Melayu.

Masyarakat bukan Melayu perlu memahami kedudukan politik Melayu atau sistem kenegaraan Melayu dan pengaruhnya kepada negara manakala kaum bumiputera pula harus memahami hakikat masyarakat berbilang kaum yang terdapat di negara ini. Hak orang bukan Melayu tidak boleh disangkal kerana mereka telah lama bermastautin, lahir dan membesar di Malaysia. Apa yang penting ialah kedua-dua pihak harus saling memahami.

Oleh yang demikian seharusnya polemik berkaitan hak-hak kaum lain tidak dipertikaikan. Ini kerana ia telah pun termaktub di dalam perlembagaan. Penulis teringat polemik berkaitan isu kontrak sosial ini yang pernah ditimbulkan oleh Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) satu ketika dahulu iaitu tentang 83 tuntutan yang antaranya menuntut agar semua orang Cina mendapat semua perkara yang dianggap sebagai hak mereka dan menghapuskan hak istimewa orang Melayu.[4] Begitu juga kenyataan yang dibuat oleh bekas Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik yang menggesa parti-parti politik melupakan formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan.[5] Menurut beliau, formula kontrak sosial itu membuatkan masyarakat Cina dan India merasa kecil hati.[6] Malah negara kita juga pernah gempar dengan kontroversi berkaitan isu agama iaitu tentang cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan usaha Kumpulan Artikel 11 yang giat berkempen ke seluruh negara atas nama kebebasan individu untuk bebas beragama sehingga menimbulkan suasana tegang dan kemarahan umat Islam setiap kali mengadakan kempen-kempen penerangan mereka.[7] Ini adalah rentetan daripada polemik kes Lina Joy dan juga kes perebutan mayat Moorthy, Nyonya Tahir dan juga terbaru Rayappan antara keluarga si mati dan juga Jabatan Agama Islam.[8]

Contoh-contoh polemik di atas seharusnya perlu dielakkan bagi menjamin keharmonian kaum di Malaysia. Ini kerana mengapa perlu kontrak sosial dirombak sedangkan formula tersebut ternyata berkesan hingga kini dalam memelihara perpaduan antara kaum. Mungkin jika kontrak sosial ini dibincangkan secara terbuka akan memebi lebih banyak kesan kepada setiap kaum di Malaysia. Ini kerana jika ini berlaku sudah tentu orang Melayu akan memprotes dan ini sekaligus boleh menimbulkan ketidaksefahaman dan sangsi dengan kaum lain. Oleh itu bagi mengelakkan rasa prejudus ini dan mengelak perkara yang tidak dijangka adalah lebih wajar jika kita mengambil jalan mudah dengan tidak membicarakan tentang kontrak sosial.

[1] Lihat Utusan Malaysia, “Gagal laksana kontrak sosial di kalangan rakyat punca konflik dunia“, 20 April 2004

[2] Lihat Utusan Malaysia, “Arah hubungan kaum di Malaysia“, 26 November 2006

[3] Ibid.

[4] Lihat Utusan Malaysia, ” Suqiu keterlaluan - PM -Kerajaan menolak sama sekali tuntutan hapuskan hak istimewa orang Melayu“, 24 Disember 1998

[5] Lihat Utusan Malaysia, “Lupakan formula kontrak sosial antara kaum - Keng Yaik“, 14 Ogos 2005

[6] Ibid.

[7] Lihat Utusan Malaysia, “Agama: Amaran Pemuda UMNO bangkit kesedaran“, 16 November 2006

[8] Lihat perbincangan berkaitan isu ini dalam artikel penulis bertajuk “Polemik Kes Moorthy, Nyonya Tahir dan terkini, Kes Rayappan : Apa Konflik Sebenar ?” di http://www.islamhadhari.net/v4/wacana/detail.php?nkid=158 [Dirujuk pada 11/3/2007 pada 1.51pm] - MAKLUMAN ARTIKEL DALAM WEB TERSEBUT TELAH TIADA KERANA DATABASENYA TELAH DITUKAR> NAMUN BAGI YANG BERMINAT, PENULIS AKAN MENYIARKAN DALAM LAMAN WEN INI

No comments: