DIPETIK DARI MINGGUAN MALAYSIA 26 OKT., 2008:
UMNO perlu pertahan hak dalam kontrak sosial
Baru-baru ini Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan meminta semua pihak tidak mempertikaikan soal kontrak sosial. apa pandangan Datuk Seri?
DR. RAIS: Pandangan itu sebenarnya adalah pandangan yang telah disebut pada tahun 1958 dan juga sebaik sahaja Jawatankuasa Reid mengadakan mesyuaratnya. jadi Raja-Raja Melayu mempunyai hak-hak kedaulatan, kebesaran, kemuliaan tidak boleh disentuh. Hak-hak Melayu secara khusus keistimewaan di bawah Perkara 153 tidak harus disentuh, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Perkara 159 mesti dihormati dan dilaksanakan.
Selainnya hak agama Islam, hak beragama, hak kesamarataan dan hak-hak yang dijamin ditetapkan oleh Perlembagaan mesti dipatuhi. Ini sebaiknya tetapi undang-undang yang menjamin perkara ini mesti dilaksanakan tuntutannya. Misalnya, pencelaan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam bentuk hasutan perlu diselesaikan segera, ini sudah dua tahun kes tidak juga selesai, itu masalahnya. Ia berkaitan dengan masalah pentadbiran dan pelaksanaan. Bagi kita untuk menerima pandangan Diraja itu mudah tetapi sistem doktrinnya dalam sistem pendidikan mesti difikirkan. Saya setuju dengan pandangan Sultan Azlan Shah yang mahu sistem pendidikan itu diterima.
Ada yang bertanya kenapa secara tiba-tiba Raja-Raja bersuara, apakah situasi sudah semakin tegang?
DR. RAIS: Mereka pun melihat apa yang berlaku. Contohnya Raja Nazrin sebagai seorang intelek, baginda juga melihat dengan jelas pihak tertentu lantang menyuarakan soal kontrak sosial yang sepatutnya tidak perlu dipertikaikan. Malah ada seorang profesor hebat mengatakan kontrak sosial itu adalah suatu impian mental belaka. Tentu Raja-Raja Melayu tertanya-tanya apaka benar dakwaan itu? Sebenarnya tidak begitu. Jadi mereka membetulkan semula keadaan supaya apa yang dipersetujui menerusi Suruhanjaya Reid dihormati, perjanjian Persekutuan pada tahun 1948 kemudian Laporan Suruhanjaya Reid dipatuhi, jadi hak-hak ini sebenarnya tidak perlu disebut lagi sebaliknya kita terus mara ke depan dan semua kaum mesti menghormatinya.
Bagaimanapun jika ada hak-hak bukan Melayu yang terjejas atau kita tidak ambil berat ini perlu kita apungkan, misalnya sekarang nisbah bukan Melayu dalam Perkhidmatan Awam sepatutnya ada 10 peratus tetapi tidak ada, ini boleh kita apungkan. Selain itu kita mesti akur kepada sistem perlembagaan yang sudah disusun.
Bagaimana kita hendak memastikan status quo kontrak sosial ini kekal relevan?
DR. RAIS: Kestabilan politik mesti diwujudkan menerusi kewibawaan UMNO semula dan pemimpin-pemimpin BN perlu juga memahami apa itu kontrak sosial. Mungkin saya lihat sebahagian daripada pemimpin baru BN mereka tidak mengerti, jadi perlu diwujudkan sistem pengetahuan dan amalan kontrak sosial. Kita mesti ada penguatkuasaan undang-undang untuk menjamin supaya keharmonian ini terus wujud tidak cukup dengan Akta Hasutan sahaja. Masalah yang ada dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu masalah lain. Ada beberapa jendela hak asasi manusia yang mungkin kita harus lihat semula di bawah undang-undang tersebut. Tetapi undang-undang yang mengadunkan pelbagai ras di Malaysia mesti wujud. Semasa saya sekolah dulu saya bergaul dengan Cina, India tetapi sekarang polaritinya teruk. Anak Melayu tidak bergaul dengan anak Cina dan India. Ini bahaya besar kalau politik sahaja kita imbangi tetapi sosial di bawah tidak, kita akan menghadapi satu letupan besar nanti. Sebaik-baiknya mesti wujud pergaulan ini dari sekolah sampai membawa kepada suasana bekerja, politik dan sebagainya. Membina negara seperti Malaysia perlu diambil kira. Masih belum terlewat dan saya percaya Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan mengepalai perjuangan masa depan akan mengambil iktibar daripada keadaan ini.
Ada cadangan untuk atasi masalah ini kita hanya wujud satu sekolah sahaja?
DR. RAIS: Saya fikir kalau hendak mengungkai semula sukar kerana ia akan menimbulkan perbalahan, konflik dan sebagainya. Yang terbaik ialah mesti ada undang-undang yang mewajibkan kegiatan bersama. Sekarang ada sekolah yang dianggap sekolah elit. Itu tidak menerusi perundangan hanya menerusi pentadbiran yang perlu ialah misalnya dua kali seminggu Cina, India dan Melayu di mana sahaja bersekolah mesti mewujudkan pelbagai program. Mewujudkan program bersama ini boleh dilakukan.
Di England ada apa yang dipanggil Akta Hubungan Antara Ras. Ada disebut baru-baru ini untuk dicadang, ini harus kita fikir untuk Malaysia akan datang, kalau tidak ada kewajipan untuk mewujudkan kegiatan bersama kita tidak akan dapat memahami antara satu kaum dengan kaum yang lain.
Ada pandangan bahawa isu kontrak sosial ini sengaja dimainkan oleh UMNO?
DR. RAIS: Pelbagai pihak mempunyai pandangan sendiri. Tetapi saya tidak fikir ia soal remeh. Oleh itu UMNO mesti berada di tahap yang boleh menguasai situasi. jika tidak UMNO bukan sahaja rugi perhitungan tetapi rugi dalam pelaksanaan nanti. Justeru UMNO mesti mempunyai matlamat yang jelas dan keberanian untuk mengambil apa yang hak. Soal bahasa kebangsaan banyak mana UMNO memperjuangkan sekarang sedangkan bahasa Inggeris dipakai. Berapa orang pemimpin yang bercakap bahasa Melayu yang tidak mengadunkan dengan bahasa Inggeris. Bermakna ini adalah satu kehilangan.
Seterusnya budaya Melayu. kebudayaan kita bagaimana kita menjurus kepada pembangunan bangsa begitu juga soal agama Islam bagaimana kita menggunakannya untuk kebaikan kita. Isu-isu ini UMNO sudah jarang mempolemikkannya yang diharungi sekarang bagaimana hendak kaya dan bagaimana hendak naik ke atas dengan menggunakan duit, itu sahaja, perjuangan sudah hilang. Jadi apabila perjuangan UMNO sudah hilang maka Fasal 3 Perlembagaan UMNO sudah dilupai, apabila itu sudah berlaku jelaslah UMNO menjurus ke jurang kelemahan.
Tetapi di kalangan orang Melayu sendiri ada yang tidak begitu hendak mempertahankan hak-hak mereka?
DR. RAIS: Saya tidak fikir begitu. Kesamarataan sudah dijamin di Perkara 8 Perlembagaan tetapi dibenarkan beberapa keistimewaan jadi terserahlah kepada UMNO untuk menjuruskan perjuangan ini menurut Perlembagaannya. Tetapi seperti mana saya nyatakan apa yang hak kepada UMNO kita tidak ambil berat. Jadi kalau itu tidak dibuat apa perjuangan kita? Dalam keadaan dilema inilah saya berpendapat dengan peralihan kuasa, saya menaruh harapan iaitu Najib membawa pembaharuan dalam konteks perjuangan baru.
Kita perlu ingat bahawa UMNO perlu menyediakan barisan kepimpinan yang berkualiti dan bukannya kuantiti. Ahli-ahli UMNO harus mengutamakan kepentingan parti mengatasi segala-galanya. Saya yakin Najib mampu membawa pembaharuan bagi memastikan UMNO terus dilihat relevan bagi memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara
Bahaya politik ugutan
DATUK SERI DR.RAIS YATIM, Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
SeLEPAS pilihan raya umum lalu parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seolah-olah dilanda sindrom kecelaruan berikutan keputusan yang tidak memberangsangkan. Apa yang malangnya dalam menyuarakan pandangan terhadap sesuatu isu sudah ada nada-nada ugutan dikeluarkan. Malah bukanlah rahsia lagi bagaimana ada komponen BN mengancam untuk keluar daripada parti itu jika sesuatu tindakan tidak diambil. Tindakan yang dianggap sebagai budaya politik ugutan ini jika dibiarkan mampu menggugat kerjasama utuh yang selama ini dibina oleh parti komponen berkenaan. Salah seorang pemimpin UMNO yang memandang serius budaya tersebut ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, ZULKIFLI JALIL dan HAFIZAHRIL HAMID, beliau menyifatkan apa yang berlaku adalah berikutan parti-parti komponen melihat UMNO semakin lemah. Sambil mengungkapkan pepatah lama ‘apabila pohon rebah kura-kura pun naik’, Rais mengingatkan UMNO untuk kembali memperkukuhkan kedudukan. Namun dalam masa yang sama beliau mengingatkan parti-parti komponen BN supaya tidak terlalu lantang menuntut sesuatu yang seolah-olah dilihat menekan UMNO.
Beliau menegaskan, parti-parti itu tidak seharusnya lupa bahawa mereka memerlukan UMNO dalam meneruskan survival politik mereka. Oleh itu adalah tidak wajar apabila mereka kehilangan banyak kerusi dalam pilihan raya, UMNO yang dipersalahkan. Bagi Rais, sekarang adalah masanya untuk UMNO memulangkan buah keras dengan menyatakan kepada komponen BN, mereka juga turut bertanggungjawab. Rais yang merupakan pakar Perlembagaan turut mengulas mengenai isu kontrak sosial yang baru-baru ini mendapat perhatian Raja-Raja Melayu.
MINGGUAN: Sejak kebelakangan ini parti- parti komponen BN seolah-olah mengamalkan politik ugutan bagi memastikan tuntutan mereka dipenuhi, apa pandangan Datuk Seri?
DR. RAIS: Ini adalah isu yang harus ditangani oleh UMNO menerusi kekuatan. Apabila pohon rebah kura-kura pun naik, ini kata-kata lama yang seharusnya kita faham maksudnya. Kebanyakan pihak termasuk parti komponen BN melihat UMNO lemah dan menurun pencapaiannya. Oleh itu mereka mengambil kesempatan untuk menggesa beberapa isu supaya diterima. Mereka hendak mengambil kesempatan supaya perkara-perkara yang mereka tuntut selama ini menjadi batu loncatan politik mereka. Justeru UMNO harus melihat perkara ini dari dalam dan memperkukuhkan kembali strukturnya.
Untuk memperkasakan UMNO semula ia bukanlah sesuatu yang kita jawab dalam satu ayat. Ini melibatkan pengukuhan kepimpinan, pengukuhan falsafah, pentadbiran, membuang gejala politik wang dan seterusnya mengwujudkan kualiti bukan kuantiti dalam UMNO.
Tetapi adakah wajar politik yang berbentuk ugutan ini diamalkan hanya kerana semata-mata mereka melihat keputusan pilihan raya umum lalu?
DR. RAIS: Mereka lupa bahawa MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain bergantung nasib kepada UMNO selama ini. Apabila melihat kerusi mereka pun hilang mereka terus menyalahkan UMNO. ini tidak seharusnya berlaku. Sebenarnya ia bukan kesilapan UMNO sahaja apabila BN kalah tetapi ia juga adalah kesilapan parti-parti komponen. Cuma kita tidak pandai menyatakan perkara ini terhadap hakikat sebenar.
Jadi sekarang kita mesti pulangkan buah keras iaitu kekalahan lima negeri dan masalah imej BN menurun adalah kesalahan parti-parti komponen juga. Tetapi malangnya kita tidak menyatakan perkara itu sebaliknya apabila Gerakan menegur, kita lantas mengatakan ‘ya’, apabila MCA menempelak, kita cuma menjawab. Kesudahannya kita hanya mewujudkan politik reaksi bukan politik pro aktif, sedangkan apa yang UMNO perlukan sekarang ialah politik pro aktif. Kalau 65 peratus kerusi boleh dimenangi oleh UMNO, parti itu harus menyatakan kepada dunia bahawa ia berkebolehan mewujudkan kerajaan sendiri. Ini mesti disampaikan kepada umum supaya UMNO berasa kuat semula dengan isian dalaman.
Apakah sebelum ini UMNO pernah ditekan oleh parti komponen?
DR. RAIS: Tidak pernah. BN yang diwujudkan oleh Tun Razak pada tahun 1974 sentiasa bertulang belakang UMNO dan UMNO pada masa itu kuat dari dalaman serta menonjolkan pelbagai pemimpin tersohor dan lantang tetapi berkuasa menerusi aspirasi dalaman. Jadi orang-orang seperti Tun Razak, Dr. Ismail sampailah kepada zaman Tun Hussein dan Tun Dr. Mahathir mereka mempunyai pimpinan dalaman yang kuat. Apa yang disebut mereka laksanakan dan berkebolehan mendamaikan senario politik pelbagai kaum, jadi MCA dan MIC khususnya bergantung nasib kepada UMNO. Sekarang mereka mewujudkan gambaran seolah-olah kita bergantung nasib kepada mereka, ini tidak seharusnya berlaku.
Tidakkah apa yang dialami oleh BN sekarang sama seperti tahun 1969?
DR. RAIS: Itu senario perkauman yang dicetuskan oleh pihak pembangkang dan MCA terbawa-bawa dengan beberapa situasi sehingga dilihat pada masa itu politik perkauman menjalar dan menguasai situasi.
Tetapi sekarang cerdik pandai dalam parti-parti tersebut tidak lagi melihat senario kontrak sosial seperti yang kita anggap pada hari ini. Justeru UMNO mesti bangkit kembali untuk memperkuatkan diri. Pertama, membuang amalan politik wang, kedua, memperbanyakkan pemimpin kualiti di dalamnya dan ketiga berkemungkinan kita tidak seharusnya begitu gamat melaungkan kita ada tiga juta ahli sedangkan ahli-ahli yang boleh diambil kira memperkukuhkan kepimpinan terlalu kecil bilangannya.
Berbanding dengan parti-parti baru muncul, mereka berkualiti tetapi tidak megah dengan keahlian yang berjuta-juta. Kita megah dengan keahlian berjuta-juta tetapi kepimpinan berkualiti boleh dibilang. Sebab itulah saya meletakkan diri saya lebih kritikan dalaman supaya kita lebih tersohor sebagai mengeluarkan pemimpin-pemimpin berkualiti yang berfikir dan mampu untuk mengharungi isu-isu dan cabaran.
Adakah tekanan parti komponen BN kerana mereka berasa kurang popular?
DR. RAIS: Ini satu kemungkinan juga sebab mereka selama ini dilihat sebagai agak menerima sahaja beberapa corak kepimpinan anjuran UMNO. Oleh yang demikian berkemungkinan mereka ingin wujud satu imej yang garang dan kononnya tidak lagi berpijak di bumi UMNO tetapi di bumi politik sendiri. Kalau ini mereka amalkan, mereka akan kecewa kerana berpolitik ala pembangkang tetapi tidak bergantung nasib kepada UMNO, mereka akan kalah.
Kita dapati tidak kurang 28 kerusi Parlimen, UMNO berikan kepada pihak-pihak itu, kalau ia diambil semula UMNO boleh mewujudkan kerajaan sendiri. Tetapi ada silapnya kalau kita berbuat demikian, imej berparti majmuk mungkin menurun. Tetapi kalau UMNO berani, parti itu harus menonjolkan perkara ini sebagai mana kita pernah wujudkan pada tahun 50-an dan 60-an.
Sejauh manakah Datuk Seri menerima teori bahawa berlaku perbuatan ‘membuli’ oleh UMNO?
DR. RAIS: Soal buli membuli tidak timbul cuma UMNO dominan selama ini. Itu tidak boleh dinafikan. Disebabkan oleh UMNO dominan maka UMNO berupaya mencorakkan budaya politik BN. Jadi kita tidak boleh menafikan itu sebab Melayu 60 peratus di Malaysia. Saya tidak perlu apologetic kepada mana-mana pihak mengatakan tidak perlu dominan. UMNO perlu terus dominan jika tidak orang Melayu khususnya tidak minat menyertai kita. Siapa minat menyertai UMNO kalau kita menjadi pak turut? Justeru hanya ada satu jalan iaitu memperhebatkan perjuangan, meninggikan taraf politik kita dengan melahirkan pemimpin-pemimpin yang jelas visi dan di samping itu menghindarkan diri daripada apologetic atau maaf, maaf, maaf sedangkan yang hendak dimaafkan itu tidak ada.
Apakah politik reaksi disebabkan kekurangan pemimpin muda berkaliber dalam UMNO?
DR. RAIS: Sudah sampai masanya ahli UMNO keluar sedikit daripada politik periuk nasi sebaliknya berani melahirkan isu dan kelemahan sebenar untuk memperbaiki diri kita. Kalau kita sentiasa berlindung di sebalik takut hilang sesuatu untuk peribadi atau mengikut sahaja kita tidak akan mencapai matlamat kita. Oleh demikian pemimpin UMNO akan datang harus dilihat sebagai berani mengutamakan kepentingan Melayu tetapi pada masa yang sama pandai menyatakan kepada rakan-rakan bukan UMNO jaga tempat anda, anda adalah sebahagian daripada BN tetapi UMNO yang dominan. Kesamarataan dalam BN dari segi kekuatan politik tidak boleh diterima. UMNO mesti menonjol terus sebagai parti memimpin. Jika tidak kita akan hilang pelbagai hak dan juga kepentingan.
Tidakkah tindakan untuk mengekalkan prinsip dominan itu akan menyebabkan kaum-kaum lain tidak suka kepada UMNO?
DR. RAIS: Mungkin ada tetapi politik dunia misalnya menghormati kuasa dan sifat dominan sesuatu pihak. Apa sebab orang tidak berani terhadap Amerika Syarikat (AS)? Sebab mereka dominan dan kuat serta mempunyai kelebihan daripada pihak-pihak lain dalam pelbagai aspek, oleh yang demikian UMNO juga perlu mempunyai kelebihan-kelebihan ini yang dahulunya ada sekarang sudah malap.
Malangnya kelebihan kita menentukan hak-hak supaya tidak dicurigai sekarang semuanya sudah luntur. Ia sekaligus menimbulkan pertanyaan apakah UMNO ini mengikut atau memimpin? Kita mesti tegaskan balik bahawa kita memimpin.
Apakah mungkin budaya politik mengugut ini dilakukan kerana mereka merasakan orang-orang Melayu sendiri tidak menyokong UMNO?
DR. RAIS: Kemungkinan ini boleh dilihat dalam munculnya Pakatan Rakyat tetapi bagi saya hanya melihat kepada senario tetapi tidak memperbaiki diri dari dalam ia akan merugikan. Munculnya beberapa parti pembangkang ataupun aspek pembangkangan yang begitu meluas kerana pencapaian UMNO menurun. Sebab itu mereka tidak nampak lagi keutuhan UMNO dari dekat. Walaupun dulu buat jalan, universiti dan sebagainya tetapi sekarang generasi baru mahu melihat UMNO membawa masyarakat ke mana. Jadi kalau mereka memberikan markah yang rendah, mereka lari kepada parti lain.
Apa pandangan Datuk Seri berhubung permintaan MCA yang mahukan jawatan Timbalan Pengerusi BN diberikan kepada mereka?
DR. RAIS: Soal siapa yang akan menjadi Timbalan Pengerusi BN pada saya tidak penting. Apabila dilihat kepimpinan UMNO itu terserlah, mereka tidak mampu mengatasi untuk menjadi pengerusi atau mendesak. Ini kerana perkiraannya ialah kaum majoriti yang mendapat tempat dan perhatian parti itulah yang akan mempengerusikan BN. Jadi saya menyatakan ia milik UMNO, kalau MCA dan Gerakan ingin berperanan sebagai timbalan pengerusi tidak menjadi masalah tetapi hendak membawa kedudukan itu kepada Timbalan Perdana Menteri ia soal lain.
Sebab jawatan Timbalan Perdana Menteri itu adalah hak Perdana Menteri. Siapa yang hendak dipilih sebagai timbalannya terserah kepada beliau. Dalam Perlembagaan Artikel 43 tidak menyebut perkataan Timbalan Perdana Menteri. Negara ini kalau tidak ada Timbalan Perdana Menteri pun boleh. Justeru kita tidak perlu gundah gulana apa yang akan jadi kepada jawatan Timbalan Pengerusi BN atau siapa yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Kalau UMNO kuat soal ini tidak timbul. Jadi soal dominan tadi harus kita rangka dalam pengertian yang berpatutan bukan bererti angkuh tetapi mempunyai kebolehan dan keutuhan sebagai pemimpin negara.
Hakikat MCA dan Gerakan bukannya tidak tahu kedudukan ini tetapi kenapa harus terus mendesak?
DR. RAIS: Seperti saya katakan, ia terjadi kerana UMNO dilihat parti yang sedang menurun. Kalau dalam pilihan raya dulu UMNO mencatatkan kejayaan cemerlang isu tidak akan timbul kerana UMNO dilihat dominan sebab itu kita tidak boleh lupakan teori ‘pokok tumbang kura-kura pun naik’.
Jika dilihat kejayaan UMNO pada tahun 2004 ia adalah kejayaan aspirasi. Dalam tempoh empat tahun aspirasi yang dinyatakan pada tahun 2004 itu tidak banyak yang menjelma jadi rakyat khususnya bukan Melayu dan juga orang Melayu merasakan janji-janji 2004 itu tidak diisi.
Kita kena lihat semula elemen-elemen janji ini dan isikan, selain itu mahu tidak mahu kelemahan dalam tempoh empat tahun itu diserlahkan oleh pihak pembangkang sedemikian rupa termasuk peranan media sehingga kerajaan dan BN yang dikepalai UMNO juga nampak lemah, semua itu turut menurunkan markah di kalangan rakyat. Lebih buruk lagi apabila pimpinan UMNO dan kerajaan setakat ini dilihat sebagai tidak sama seperti kepimpinan yang lalu. Jadi ini adalah perkara-perkara yang harus diatasi melalui mesyuarat bahagian dan pilihan raya akan datang.
Walaupun berhadapan dengan ugutan daripada Gerakan dan ancaman daripada MCA, namun orang UMNO masih lagi dilihat belum insaf?
DR. RAIS: Saya sudah cukup mengeluarkan pandangan sama ada secara perli, secara lantang dan ada secara perbandingan tetapi dengan ungkapan sahaja UMNO tidak akan berubah. Ini kerana generasi sekarang bukanlah generasi yang banyak berfikir ke arah perjuangan. Mereka cuma melahirkan pendapat apa yang dilihat 24 jam sebelum pemilihan.
Ini sangat mendukacitakan dan doktrin menangani budaya politik wang misalnya tidak akan memulihkan UMNO kembali kecuali Perlembagaan dipinda dan urusan yang berkaitan dengan rasuah diatasi melalui undang-undang anti rasuah negara. Kalau tidak, percayalah mungkin UMNO tidak akan mempunyai banyak kuasa lagi dalam tempoh akan datang. Ini saya sebut lantaran parti-parti komponen lain tidak mengamalkan amalan-amalan buruk dalam pemilihan dan mereka tidak tertakluk kepada sistem kuota atau sistem bonus dan sebagainya, UMNO sahaja yang mengamalkan ini. Malah MCA sekarang sudah mengehadkan pucuk pimpinannya kepada dua penggal. Kita masih di tahap pada tahun 1993. Ini cukup mendukacitakan. Terserahlah kepada pucuk pimpinan parti untuk melihat perkara ini secara objektif. Tetapi kalau trend ‘macam biasa’ saya tidak yakin kita boleh memerintah dengan kuasa yang saya nyatakan.
Bagaimana hendak atasi semua itu?
DR. RAIS: Pertama, kita harus meminda Perlembagaan UMNO. Seksyen 15.5 misalnya yang menentukan kuota perlu dihapuskan atau dihadkan kuota itu kepada yang munasabah, contohnya 10 pencalonan untuk semua jawatan ia dilihat berpatutan. Seterusnya pemantauan jawatankuasa disiplin mesti ada dalam Perlembagaan UMNO dengan jelas. Sekarang pengawasannya tidak cukup maka jawatankuasa itu tidak dapat menjalankan tugasnya. Ketiga, pada pandangan saya membenarkan undang- undang negara berjalan untuk mengambil tindakan terhadap semua yang mengamalkan rasuah dalam semua peringkat pemilihan di dalam parti. Ini adalah perkara-perkara yang boleh meredakan dan menghilangkan rasuah dalam parti. Apabila gejala itu sudah tidak ada maka perkembangan nilai-nilai demokrasi itu mudah diwujudkan, yang terakhir masalah politik wang dengan masalah sumbangan politik mesti dibereskan barang siapa hendak menyumbang kepada UMNO harus secara yang jelas. Orang boleh menyumbang tetapi bukan untuk peribadi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Sejak, malaysia merdeka, UMNO ialah pemimpin negara ini. Semua polisi ditentukan oleh UMNO.
Boleh kah, orang bukan-melayu tukar realiti bahawa orang melayu ialah majoriti dan boleh mendapat hak yang lebih banyak. Saya sangsi and fikir tak perlu.
Banyak masalah di Malaysia seperti judisi kehakiman yang tidak konsisten, korupsi ,sikap tidak apa akan menhancurkan Malaysia. Tengok negara seperti Iran , Pakistan , Indonesia . Apa berlaku apabila ada revolusi islam yang membuta hati rakyat ? Apabila ketidakadilan sudah ditutup kain yang konon nya untuk rakyat atau islam.
Kalau Malaysia tiada pihak pembangkang yang sentiasa periksa aksi aksi pentadbir, kita akan hancur.
Post a Comment